Tuesday, December 17, 2013

SENTIMENTAL

AKU melontarkan pandanganku jauh ke hujung lautan. Masih lagi berdiri tegak tidak berganjak walau seinci. Aku melihat telefonku yang dari tadi masih lagi terletak di tapak tangan. Lantas aku simpan semula ke dalam kocek seluar. Hela nafasku seolah berat. Tiada terniat di hati untuk menyusahkan dirinya. Setiap bait katanya masih aku ingat lagi.

"Aku dah tak boleh layan kau macam dulu lagi dah,aku nak kahwin. Kita boleh kawan tapi, nak rapat macam dulu tak boleh la. Aku harap kau faham"

Aku mengerti setiap satunya. Tidak perlu penjelasan lanjut, kerana aku bukan anak kecil yang baru hendak bertatih. Mungkin sudah menjadi kebiasaan bagi diri aku berkongsi bermacam benda, dari hal kerja hingga perkara peribadi bersamanya hampir setiap hari walau jarang sekali bertemu. Jadi aku sudah terlalu 'attached' dengan dirinya. Jadi aku memerlukan masa untuk membiasakan diri. Bukan kerana aku ada HATI pada dirinya, cuma sikap aku yang sentiasa mengambil berat tentang teman baikku. Aku terkilan sebenarnya, hanya kerana sikap aku yang terlalu mengambil berat itu disalah erti. Tidak terniat sedikit pun untuk menjadi penghalang dalam kehidupan sehariannya. Sebab itu, aku cuba mengelakkan diri aku dari terlihat akan 'kelibat'nya dari laman sosial. Bunyinya macam aku sudah jatuh hati pada dirinya, tapi sebenarnya tidak. Pernah suatu ketika aku berkata,

"Aku rasa aku dah suka pada kau, tapi bila aku fikir balik, mungkin aku KELIRU sebab terlalu banyak masalah yang aku hadapi dan kau saja yang ada untuk aku mengadu tiap kali. Aku ni orangya SENTIMENTAL sikit, susah nak lupa setiap perkara, tapi aku akan biasakan diri"

Jadi aku membuat keputusan untuk meng'hilang'kan diri seketika. Berusaha untuk menjauhkan dirinya, untuk tidak menjadi 'penghalang'. Ini kerana aku sudah terbiasa menghubunginya tidak mengira masa. Katakan diriku bersifat tidak profesional dan kebudak-budakan, itu tak mengapa. Aku biarkan saja imaginasinya berlegar di ruang paksi otaknya. Aku sudah berusaha sebaik mungkin dan kini, aku sudah mula biasa dengan ketiadaan dirinya. Tapi kadang tergerak hati untuk menghubunginya, sekadar pesanan ringkas mampu aku kirimkan, namun tidak berbalas. Tapi tidak mengapa aku faham (walau terkilan), jadi aku diamkan sahaja. Mungkin dia tidak 'nampak' atas apa yang telah aku lakukan. Tidak 'nampak' bahawa aku sudah berusaha untuk merenggangkan hubunganku dengan dirinya. Jika dia hendak menyamakan aku dan dirinya, ternyata dia silap. Jika dia mampu untuk melupakan satu-satu perkara dalam sekelip mata namun tidak aku. Aku memerlukan masa. Hingga akhirnya, aku sendiri akan mampu untuk menghadapinya tanpa dipinta. Itu CARA aku.

Telefon yang tadi tersimpan dalam kocek seluar aku keluarkan semula. Laman Twitter aku buka, aku selak satu persatu tweet miliknya. Hamburan kata-kata yang ternyata mengguris hati, aku baca satu persatu dengan perlahan, mencari kekhilafan yang telah aku lakukan pada dirinya. Ada di antara tweet itu hanya selang 2-3 hari sebelum dia betul-betul mendiamkan dirinya. Aku sendiri tidak sedar akan perkara itu. Tidak pula dia meluahkan rasa tidak puas hati itu padaku secara terang-terangan. Ada aku bertanya pada dirinya dengan baik melalui pesanan ringkas,

"Kau marah kat aku ke?Kalau aku ada buat salah, bagitau la. Kata kita kawan."

Tidak berbalas, telefon bimbitnya juga cuba aku hubungi. Namun tidak dijawab. Hinggalah hari ini, baru aku mengerti yang dia benar RIMAS dengan sikapku yang dianggap terlalu melampau hingga menyebabkan dia bertindak sedemikian. Bertindak untuk melupakan segalanya, bertindak untuk memutuskan hubungan aku dan dia. Sekadar berdiam diri, tanpa penjelasan. Yang ditinggalkan hanya perasaan benci dan meluat. Aku tak mengharapkan pengakhiran seperti ini. Tapi seharusnya aku diberikan penjelasan, katakan saja secara berdepan, tidak perlu dihamburkan kata-kata yang menyakitkan di laman sosial. Aku lebih rela dimarah, dihina, diherdik atau dipukul depan-depan jika itu mampu untuk melegakan dirinya. Dengar segala kata-kata aku dahulu dan selepas itu, jika hendak pergi, pergilah. Aku takkan halang.

Senja sudah pun melabuhkan tirainya. Warna jingga mula menyelubungi langit, seluar aku juga sudah mulai basah pabila air laut sudah pun pasang hingga ke paras betis. Aku sendiri tak menyedari, mungkin terlalu lama aku mengelamun sendirian. Aku berlalu pergi sambil ditemani deru angin senja dan kicauan burung...

Aku mengharapkan dia mengerti perasaan aku kini, aku tidak mengharapkan belas kasihan darinya. Tidak terniat juga untuk memburukkan dirinya. Cukuplah kau sekadar melihat coretan isi hati yang ikhlas di sini. Aku tahu kau takkan singgah di blog ini lagi. Kalau ada sesiapa yang mengenali, cukuplah sekadar sampaikan padanya. 

MAAFKAN AKU UNTUK SEGALANYA SAHABAT!
SEMOGA KAU BERBAHAGIA..






Sunday, December 15, 2013

PERSAHABATAN - PERMUSUHAN

Menyelusuri tepian pantai sambil ditemani angin sepoi-sepoi bahasa yang menyegarkan muka.
Hati sedikit tenang pabila mendengar rima deru angin dan bunyi ombak yang selari bagai sebuah lagu. Aku berhenti berjalan, bersadar pada sebuah batu besar. Nafas aku helakan dengan kuat seakan mengeluh. Tapi kali ini aku tidak lagi mempersoalkan diriku. Cuma soalan-soalan kali ini ingin aku tujukan pada seseorang. Cuma barangkali hanya soalan bertandang tanpa disambut dengan jawapan.

Lalu aku ambil serpihan batu pertama yang ada di kaki, aku lemparkan sekuat hati..
"apa yang aku buat pada kau?sampai kau fikir aku ni suka menyibuk?Pernah aku paksa kau jawab segala persoalan aku?pernah aku paksa kau menuruti segala permintaanku?"
Batu pertama sudah pun tenggelam..

Aku ambil lagi serpihan batu kedua, aku lemparkan juga sekuat hati..
"Sejak kau jelaskan segalanya, aku berusaha sebaik mungkin tak menganggu, tapi kadang aku hanya bertanya sekadar seorang rakan baik, tidak pula terniat apa-apa, tapi aku sering kali dianggap sebagai penyibuk. Morning!Buat apa?Bz ke?Kalau kau rasakan semua itu menyesakkan,baiklah,aku takkan bertanya lagi". Belum pun sempat batu kedua tenggelam, aku jerit sekuat hati (tiba-tiba). Orang yang lalu-lalang terhenti seketika melihat aku. Perasaan malu mula menerpa,terus aku berlari sekuat hati meninggalkan lokasi.

Setelah penat berlari, aku berhenti duduk di bawah sepohon pokok. Melepaskan lelah, entah kerana penat atau mengenangkan nasib. Semenjak dua ini, aku sudah tidak terlalu ambil peduli akan dirinya fikiranku hanya terarah pada Q dan N. Mungkin aku sudah mula menerima keadaan ini. Terpulanglah pada dia, apa yang dia nak lakukan atau fikirkan. Hanya sekali-sekala, pesanan ringkas aku hantar ke telefon bimbitnya namun tidak berbalas, aku mengerti. Tapi niat aku hanya bertanya khabar sebagai rakan kerana sudah terlalu lama tak berjumpa mahu pun berbual. Cuma kadang sikapnya itu seolah-olah yang menganggap seperti aku orang asing yang baru dia kenali semalam membuatkan aku terkilan sedikit.

Aku bangun meninggalkan pokok tersebut. Sambil berjalan aku seluk kocek untuk mengambil telefon pintar aku. Jariku segera menekan butang aplikasi FB, aku terpempan seketika tatkala mata tertumpu pada satu status, yang seolah-olah dituju kepadaku. Tapi tidak aku endahkan.selang beberapa ketika, di laman twitter juga dihamburkan kata-kata yang seakan sama.

"FIKIR DAN RESAHKAN HATI ANDA UNTUK GF ANDA YANG JAUH DI MATA. TAK PERLU
RISAU/FIKIRKAN GF ORANG YANG DI DEPAN MATA."

Kini, kiri kanan depan dan belakang ku bagai ditikam. Aku tak tahu apa salah aku, aku juga tak mengerti apa yang aku lakukan hingga aku dibenci sebegini. Dalam sekelip mata persahabatan bertukar menjadi permusuhan. Ikatan silaturrahim yang terjalin diputuskan begitu sahaja. Tidak semena, satu lagi berita mengejutkan aku terima dari rakanku yang jauh F.

"Dia pesan kat aku supaya kau jangan KACAU dia lagi"

"Mengapa tak katakan saja perkara itu terus kepada aku?". Aku buka semula aplikasi FB yang sudah pun tersedia. Aku cari akaun dirinya, tidak aku ketemu. Ternyata akaunnya sudah di'remove' dari tatapan aku. Semakin terkilan hati ini memikirkan sikapnya yang berubah secara drastik. Tidak seperti yang aku kenali dulu. Langkahku yang tadi laju aku perlahankan, terasa berat.

BERSAMBUNG..