Wednesday, January 1, 2014

SALAM TAHUN BARU 2014!!

SEDANG aku duduk seorang di hadapan komputer, mataku tertumpu pada jam dinding yang terletak di ruang tamu. Jam sudah pun menunjukkan  pukul 10.15 malam (sewaktu artikel ini sedang ditulis). Aku hampir terlupa yang hari ini telah masuk tahun baru, 01 JANUARI 2014. Sedar tak sedar umurku bertambah lagi. Segala kenangan pada tahun 2013 terpahat kemas dalam hati ini. Segala kenangan suka dan duka aku lipatkan dalam sanubari. Sekarang sudah masanya aku membuka lembaran baru dalam hidup aku. Aku bukan jenis suka berazam setiap kali tiba tahun baru. Bagi aku, setiap kekurangan diri harus dibaiki setiap hari, bukan pada setiap tahun. Itu pandangan aku, tapi tak salah bagi sesiapa hendak berazam pun.

Kehidupan aku banyak berubah, dari segi kerja mahupun peribadi. Terlalu banyak yang aku pelajari sepanjang tahun 2013. Walau semuanya tak seindah fantasi, tapi realiti mengajar aku segalanya. Gelojak hubungan tak kira samada profesionalisme atau peribadi membuatkan aku semakin tabah mengharungi hari-hari mendatang. Mematangkan pemikiranku seiring dengan usia. 

Perancangan untuk tahun ini, aku masih belum fikirkan. Tapi yang pasti aku mahukan segalanya menjadi lebih baik. Melihat rakan-rakan sekolah, rakan sekerja yang dahulunya bujang kini telah berkeluarga. terdetik rasa hati untuk berkahwin. Aku sendiri tidak pasti siapakah jodohku. Terlalu banyak dugaan yang mendatang hingga kadang-kadang aku hampir putus asa. Hanya doa yang mampu aku pohonkan pada Yang Maha Esa. 

Aku jeling ke arah jam dinding, tinggal lagi beberapa minit sahaja lagi untuk masuk 02 Januari 2014, masa berlalu pantas, terpulang kepada kita sebagai manusia samada untuk mengejar MASA atau terus tercicir ke belakang. Sentiasa mendekatkan diri kepada Pencipta, memperbaiki diri pada setiap masa dan seterusnya mematangkan pemikiran sebagai seorang manusia. Mata mulai terasa berat, sudah tiba masanya untuk aku tidur kerana awal pagi esok ada tanggungjawab yang harus aku lunaskan sebagai seorang Jurufoto. 

Selamat Malam.. Selamat Tahun Baru 2014!!


P/s: Kepada rakan baikku yang bakal mendirikan rumah tangga tahun ini. Aku kirimkan doa, moga kebahagiaan kekal menjadi milikmu.
Kepada N, maafkan aku sekiranya aku masih belum membuat keputusan, tapi yang pasti aku amat sayangkan kamu. Hanya waktu sebagai penentu dan bila tiba masanya, akan aku beritahu.
Kepada Q, Selamat Tahun Baru.. :)