Wednesday, February 19, 2014

ANTARA NALURI HATI DAN PEMIKIRAN

Mengatur langkah longlai menuju ke kereta yang terletak jauh di sebatang jalan yang kiri dan kanannya dipenuhi pepohon yang rendang kerana keletihan setelah seharian menyelesaikan tugasanku. Sambil aku melangkah, kepala aku ligat memutarkan persitiwa semalam.

Satu perkara yang aku tak pernah lakukan, satu perkara yang aku sendiri tak pernah jangka akan berlaku. Satu-satunya perkara yang aku anggap GILA. Keputusan yang mengikut gerak hati, tanpa berfikir panjang. Aku rasakan cukup seronok, cukup 'thrill' bagi diri aku. Hinggakan aku dikatakan tidak siuman oleh rakan serumahku.

"Orang kalau ada masalah, termenung, muka masam. Ni tak, duk renyih (senyum) sorang-sorang dah macam orang tak betul je aku tengok"

Aku hanya tergelak mendengar kata rakanku itu. Tapi memang benar, aku mengaku memang aku mempunyai masalah. Tapi entah mengapa, aku jadi begini. Masalah yang mendatang, tidak aku hiraukan. Hingga aku lakukan perkara yang lansung tidak aku rancang sebelum ini.  

"GO FOR IT! You got nothing to lose"

Ya! Tiada apa yang merugikan bagi diriku. Aku hanya mencuba nasib. Kalau ada, memang itu rezeki aku. Kalau tiada rezeki, apakan daya. Yang paling penting adalah usaha sebaiknya dan kemudian berserah kepada takdir Yang Maha Esa. Tapi ternyata, nasib tidak menyebelahi aku. Memang aku tipu kalau dikatakan tidak berasa kecewa walau sedikit pun. Namun segalanya dapat aku atasi dengan pemikiran yang positif dan matang. Aku jadikan ia sebagai pengalaman yang akan aku jadikan pedoman pada masa akan datang.

Kadang kita perlu ikut gerak hati dalam membuat keputusan. Tapi bukan secara membuta tuli tanpa analisis secara menyeluruh dan seterusnya, pandangan dari orang yang lebih berpengalaman juga diperlukan bagi membantu untuk kita membuat keputusan. Ditambah pula dengan Solat Istikharah dan doa yang tidak putus-putus memohon keampunan dan petunjuk dari Yang Maha Kuasa supaya dipermudahkan segala urusan dan untuk ketenangan jiwa. Akhir sekali, barulah kita berserah kepada Qada' dan Qadar. Mendapat sokongan dari ahli keluarga dan sahabat juga menjadi satu bonus untuk kita dalam melakukan sesuatu.

Tiba di keretaku, kunci yang tersimpan di dalam kocek aku keluarkan. aku tekan punat pada alat kawalan jauh untuk membuka pintu kereta. Aku simpan segala peralatan kerja di ruang belakang kereta. Aku buka pintu di tempat duduk pemandu dan masuk. Tika ini, masih lagi aku tersenyum memikirkan hal semalam. Hidup ini sememangnya penuh dengan kejutan dan kejaiban yang kita sendiri tidak pernah menduga.

p/s: Semoga kamu bahagia dengan pilhan kamu.....


Sekian......




Sunday, February 16, 2014

Sinar...

SEDANG aku berbaring, tiba-tiba kedengaran rintik hujan turun dengan lebatnya. Aku terus bergegas keluar untuk mengalihkan baju yang aku sidai di luar rumah. Sudah beberapa bulan tiada setitik rintik hujan yang turun membasahi bumi. Selesai aku mengalihkan jemuran, aku mengalihkan padangan ke langit yang masih menghamburkan isinya. Sedikit kelegaan dapat aku rasakan. Ketenangan menyelubungi hati tatkala menghirup udara segar sambil mendengar dendangan rintik hujan. 

Hati ini.... Sedikit tenang kebelakangan ini. Aku semakin boleh menerima hakikat perjalanan hidup 
yang aku tempuhi saat ini. Bukan kerana aku melupakan apa yang terjadi, bukan aku cuba membenci atau membuang segala perasaan ini. Aku cuma mahu melihat ke hadapan dan ku rasakan tidak perlu lagi aku  berjalan mengundur. Segala apa yang berlaku, aku anggap sebagai ketentuan hidup aku yang mungkin telah pun tertulis di Lul Mahfuz sejak dari azali. Dengan siapa aku bertemu, kemudian berpisah, dan bertemu kembali dengan insan lain semuanya sudah ditentukan olehNYA.

Mungkin kita sebagai manusia kadang kita terlupa, bahawa segala Qada' dan Qadar itu adalah sebaik-baik perjalanan. Kita sebagai manusia harus menerima ketentuan ini dengan redha dan menganggap segala apa yang terjadi adalah ujian daripadaNYA supaya kita tidak terus kecewa/makan hati yang boleh mengakibatkan diri kita merana di kemudian hari. 

Tidak sampai lima minit hujan yang tadi turun dengan lebatnya, kini sudah terhenti. Walau tidak lama, cukuplah ia membasahi bumi yang telah lama kekeringan. Aku masih lagi berdiri di beranda rumah melihat langit. Mentari mula menyinari bumi yang masih basah. Hatiku sungguh tenang tatkala melihat keindahan alam ciptaanNYA. Subhanallah! Allahuakhbar!

Masih ada sinar walau mendung bertandang....