Friday, August 15, 2014

Chapter 2: Jiwa Manusia

Sudah lewat malam, tapi mata ini masih belum mengantuk. Aku baru sahaja pulang dari bertemu rakan-rakan sekolah. Bermacam cerita dikongsikan, dari hal kerja hingga hal kehidupan masing-masing. Semuanya sudah ada jalan hidup sendiri, yang membezakan hanya rezeki masing-masing. Di sebalik kegembiraan itu, hatiku gundah, entah kenapa. Puas aku cuba tenangkan jiwa. Cuba aku mengukir senyuman, ternyata kadang aku tak mampu untuk menyembunyikan kepedihan jiwa. Ya, aku cuma manusia biasa.

************************************************************************

"Abah, nanti minta tolong hantarkan ke stesen KTM, nak keluar sekejap"
"Pukul berapa?"
"Pukul 3 petang"
"Ha..Ok."

Aku tersenyum, bungkusan plastik berisi cenderahati aku simpankan ke dalam beg galas. Aku menjeling ke arah jam tanganku, jam 2 petang. Aku capai tuala dan aku bergegas ke bilik air, takut-takut aku terlewat. Selesai mandi aku bersiap, t-shirt lengan panjang dan seluar jeans menjadi pilihan aku. Aku suka pakaian yang ringkas dan selesa tatkala berjalan jauh. Terutama apabila menggunakan pengangkutan awam. beg yang terletak di kerusi aku galaskan ke bahu.

"Abah jom!"
"Ha?Tunggu kejap"

Tanpa bertanyakan apa-apa, abah yang sejak dari tadi baring terus bangkit sambil menggosok mata.

"Ok. Jom cepat!"

 Aku kunci pintu rumah, aku berlari-lari anak menuju ke kereta abah. Dan abah terus memandu laju meninggalkan perkarangan rumah.

Dalam perjalanan menuju ke stesen KTM, 'Ting!'. Aku lihat telefon bimbitku, terpapar mesej ringkas daripada Dhia,

"Hang buat apa tu?"
"Aku dalam kereta, on the way ke stesen KTM. Aku nak pergi KL sekejap."
"Tak beritahu aku pun? Dah keluar baru nak beritahu. Jumpa siapa?"
"Ahaha.. Sorry la. Aku nak jumpa Sofea sekejap. Nak bagi souvenir yang aku beli hari tu. Lepas buka puasa aku balik la."
"Itu bukan sekejap, itu lama. Lepas buka puasa baru nak balik"
"Ahaha... Ala sekejap je. Lagipun dia kerja, aku nak kena booking tempat untuk berbuka dulu. So, dia akan datang kemudian. Habis makan aku balik la"
"ok"
"nanti aku dah balik aku beritahu hang, ok?"
"K"

Barangkali Dhia marah. Mungkin marah kerana tidak memberitahunya awal-awal. Aku cuma tersenyum kecil. Kadang aku sendiri tidak mengerti apa yang bermain di kepalanya. Selalunya aku hanya diamkan, Dhia sememangnya begitu sejak dari mula aku kenali dirinya. Segala tingkah lakunya betul-betul di luar dugaan.

************************************************************************

Aku capai kad Touch n' Go, aku layangkan pada penghalang automatik yang tersedia, 'Tit!'.
Aku melepasi penghalang itu, aku lihat LRT sudah lama tiba. Aku lihat jam,

"Kalau tunggu lagi satu trip, boleh lambat aku macam ni."

Aku berlari laju menaiki anak tangga menuju ke platform yang terletak di seberang. Aku lihat, hampir kesemua orang yang menunggu tadi sudah memasuki LRT. Aku menuruni anak tangga dengan laju, nyaris-nyaris saja aku tersadung kaki sendiri. Pintu LRT sudah hampir tertutup,

"HEY!!!! Tungguuuuuuu!!!"

Aku sempat menghadang pintu LRT dengan kaki. Pintu itu kembali terbuka dan terus aku melompat masuk.
Tercungap-cungap aku menarik nafas,

"Nasib baik sempat...."

Tiba-tiba terasa kering dan berpasir tekak aku,

"Kalau dapat air sejuk ni......ermmmm..."

Bayangan air sirap selasih sejuk memenuhi imaginasi cepat-cepat aku padamkan, aku hanya mampu menelan air liur.
Aku ternampak tempat duduk kosong antara dua orang wanita pertengahan umur. Aku terus menuju ke tempat duduk itu, aku hempaskan punggung sambil melepaskan lelah. Kedua-dua wanita itu melihat aku dengan pelik. Aku melihat keadaan diri aku seketika,

"Ada yang tak kena dengan aku ke? Baju ok. Seluar berzip, apa yang tak kena ni?"

Kedua-dua wanita itu menepuk bahu aku serentak sambil menunjuk ke arah cermin di hadapan kami. Aku melihat apa yang ditunjukkan mereka, pelekat lambang wanita berwarna merah jambu terpampang besar bertulis,

'KOC WANITA'

"Alamak...!"

Aku menepuk dahi. Aku hanya mampu tersengih macam kerang busuk. Aku bangkit perlahan,

"Sorry kak... Minta diri dulu ye.."

Kedua-dua wanita itu hanya menggelengkan kepala mereka. Ketika aku bangun dan berlalu pergi, baru aku tahu, aku memasuki koc khas wanita. Kesemua wanita di dalam koc tersebut memandang aku dengan pelik.

"Ya.. Allah.. Malunya aku. Patutlah banyak tempat kosong"

Aku hanya mampu menyengih. Sekumpulan gadis belasan tahun yang duduk berhadapan dengan aku tadi menggelakkan aku semahunya tanpa segan silu.

"Gelak macam setan, tak boleh buat bini lansung, Nasib korang la duduk di koc wanita, kalau taaakkk....ok, sabar.. Bulan puasa ni."

Diikutkan hati, mahu saja aku maki gadis-gadis tersebut yang tak tahu adab dan budaya ketimuran. Aku berjalan perlahan, mencari ruang tempat duduk yang kosong. Aku ternampak satu tempat duduk yang terletak di hujung koc. Aku duduk diam seketika. Aku sendiri tak tahu apa yang aku fikirkan. Terlalu banyak perkara yang bermain di fikiran. Setiap satunya bersilih ganti hingga pening dibuatnya. Aku buka beg sandang, aku keluarkan souvenir yang aku beli dari Sabah. Gelang tangan berhiaskan mutiara putih itu aku belek. Ada dua utas, satu berwarna emas, dan satu lagi berwarna perak. Satu untuk ibu Sofea dan satu lagi untuk dirinya. Aku senyum sendirian. Aku simpan semula gelang tersebut ke dalam bekas. Aku keluarkan dompet dari poket belakang untuk aku simpan kad Touch n' Go tadi. Takut-takut tercicir. Aku buka dompet aku, aku terlihat gambar yang aku letakkan di dalam dompet sejak sekian lama. Gambar seorang gadis cantik, berambut panjang dan berkulit hitam manis itu tersenyum bahagia di sisi aku. Ainan Sofea, gadis yang akan aku ketemu sebentar lagi.  Aku dan Sofea sudah berpisah. Masing-masing memilih jalan hidup sendiri. Tapi kami masih lagi berhubung sebagai kawan. Entah kenapa, aku masih lagi menghubunginya. Hinggakan ada dikalangan ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat masih tertanya-tanya mengapa aku dan dia masih lagi berhubung sedangkan kami sudah tidak mempunyai hubungan apa-apa.

"Ala... Takkan kawan pun salah? We still care bout each other. I still respect her parents. Lagi pun aku dah anggap parents dia macam parents aku sendiri"

Itulah jawapan yang aku lemparkan tiap kali aku diaju soalan tentang hubungan aku dan Sofea. Perasaan sayang itu masih ada. Cuma mungkin aku sendiri tidak berapa yakin pada diri, aku yang masih merasakan tidak cukup sempurna untuk dirinya. Ditambah dengan kehadiran Dhia dalam hati, benar-benar membuatkan aku keliru. Aku mengelamun sendirian, hanyut dalam buaian perasaan sendiri.

Bersambung...


Thursday, May 1, 2014

CHAPTER 01 : Gila..

Dinding putih yang terbentang luas di hadapan mata aku tenung seadanya, aku perhati setiap inci ruang putih bagai ada sesuatu yang cuba aku cari. Fikiran aku pula melayang entah ke mana. Aku bingkas menuju ke jendela lalu aku buka. Serta-merta udara segar menerpa ke muka. Aku hirup dan aku hela nafas sebanyaknya. Aku lihat hujan yang tadi mencurahi bumi sudah pun terhenti. Warna senja pula mengambil alih. Aku mengerling ke arah jam tanganku, tepat jam enam petang. Aku tutup semula pintu jendela. Aku kembali ke mejaku dan aku kemas segala peralatan kerjaku. Aku masukkan satu persatu ke dalam beg yang tersedia. Aku tutup semua suis lampu dan pendingin hawa. Aku perhatikan setiap inci pejabatku, memastikan segalanya kembali teratur, dan tidak ada barang yang tertinggal sebelum aku pulang. Setelah selesai, aku pakai kasut dan terus turun ke bawah. Aku kunci pintu pejabat. Sebelum berlalu pergi, aku mendongak ke langit yang diselubungi warna jingga.

"Subhanallah!!"

Aku tunduk dan aku kira langkahku satu persatu. Sesekali aku mendongak ke hadapan. Nasib aku sempat mengelak, hampir-hampir saja aku melanggar tiang. Kalau tidak, tak semena dahi aku bengkak. Aku menggelengkan kepala sambil tergelak sendirian. Aku buka pintu kereta, beg yang berisi peralatan kerjaku, aku letakkan di ruang tempat duduk belakang. Aku hidupkan enjin kereta, aku duduk kejap.

"Kita nak pergi mana ni?"
"Entah ikut hang la, kata tadi nak pi cari aiskrim"
"Nak pi cari aiskrim tang mana?"
"Nih kat lubang hidung aku!"
"Ahahah...Bongok!"

'Piiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiinnnnnnnnnnn!!!!!!!!!!!!!!!'

Aku seperti tersedar dari mimpi, entah bila aku undurkan kereta dan hampir saja melanggar kereta di belakang. Mujur pemandu kereta tersebut memberikan hon. Aku terkaku seketika, lantas aku tukarkan gear R ke gear D dan maju ke hadapan sedikit untuk memberikan laluan kepada pemandu tersebut. Aku perhatikan pemandu tersebut berlalu pergi melalui cermin pandang belakang. Pemandu itu hanya menggelengkan kepala dan berlalu pergi, mujur tak dimakinya. Aku tarik nafas dalam-dalam dan aku hembus sekuatnya. Aku toleh ke tempat duduk sebelah. Masih lagi kosong sejak dari tadi. Aku terasa kehadirannya di situ, seperti baru saja tadi aku berbual dengan dirinya. Tapi ternyata hanya bayangan kenangan lalu muncul di siang hari.

"Hurmmm..."


***************


Selesai saja mandi dan solat Maghrib, aku menuju ke ruang tamu. Aku hempaskan badan ke kerusi yang sememangnya tersedia. Cukup malas aku rasakan untuk ke Gym. Selalunya setelah selesai solat Maghrib aku akan ke Gym untuk mengeluarkan peluh. Tapi hari ini, cukup malas aku rasakan. Aku capai sketch book yang terletak di rak buku. Aku selak helai demi helai buku itu.

"Hang duk watpa?"
"takda watpa, duk cari mood nak melukis"
"Hang pandai melukis ka?"
"Boleh la, dah berkarat dah. Nak kena praktis balik"
"Kalau hang ada masa cuba hang lukis muka aku, aku nak tengok"
"Boleh je,bayar la. Ingat free ke?"
"Ala.. Hang pun dah berkarat kan, kira free la. Ahahaha.."
"Siot je hang ni. Yela nanti aku try lukis. Kalau tak cantik jangan marah pulak"
"Ahahaha...thanks!"

Aku perhatikan lakaran-lakaran yang telah aku lukis. Aku sentuh jalur-jalur halus pada lakaran itu, bagai membelai wajahnya. Puas aku tatap setiap satunya. Kemudian, aku capai pensil dan pemadam. Tangan aku mula meliuk-lentuk mencipta garis demi garis pada kertas putih. Namun, seperti ada yang tidak kena. Aku berhenti melakar, pensil yang ada di tangan aku campakkan ke tepi. Kertas tadi aku koyak semahunya dan aku buang ke dalam bakul sampah.

Aku duduk di suatu sudut, memerhatikannya. Dia sedang khusyu' menaip, menyiapkan kerjanya. Aku capai kamera, aku hala padanya dan aku petik butang pengatup pada kamera aku.

'Klik!klik!klik!'

Lansung tak disedari, gelagatnya dirakam lensa kameraku. Sesekali aku mendengar dia mengomel sendirian, tatkala sedang menaip. Entah apa yang dibicarakan olehnya, aku terus memerhati dan aku tergelak kecil. Dia menoleh ke arahku, cepat-cepat aku alihkan pandangan.

"Pasaipa hang duk tengok-tengok? Ada hutang?"

Aku lihat wajahnya,

"Apa?"

Aku pura-pura tak mengerti, hanya senyuman aku lemparkan.

"Bengong!"
"Eh! Tiba-tiba pulak aku kena bengong."
"Ahahahahahahahahahahahahahahahahhahahahahaha...."

Aku bagai disentak, gelak tawa itu seolah bergema di ruang rumah aku. Sekali lagi aku tersedar dari mimpi kenangan lalu. Aku bangun dan aku capai telefon bimbit aku yang terletak di atas meja. Aku
terus menuju keluar untuk mengambil angin malam. Seorang budak lelaki bersongkok dan berbaju melayu menaiki basikal menuju laju ke arahku, sambil dikejar beberapa orang rakannya dari belakang.

'Kring!Kring!Kring!Kring!'

" Tumpang lalu bang!"

Aku anjakkan langkahku sedikit, nyaris-nyaris dilanggar budak tadi, rakan-rakannya yang mengikuti dari belakang turut mengelak aku bagai penunggang motosikal profesional. Aku hanya menggelengkan kepala. Aku hanya memerhati budak-budak yang berbasikal itu hilang ditelan kegelapan malam. Aku masih lagi berdiri tegak di bawah sinaran lampu jalan. Senyap sunyi aku rasakan, ditemani angin sepoi-sepoi bahasa. Kedengaran geseran angin pada dedaun dan bunyi guruh sesekali memecah keheningan malam.

'Agaknya nak hujan lagi malam ni'

 Aku tunduk dan aku sepak-sepak batu kecil yang bersepah di atas jalan. Sesekali aku sepak kuat, cuba melepaskan apa yang terbuku di hati. Tiba-tiba aku rasa kesakitan pada ibu jari kaki kananku, aku lihat, darah merah pekat mengalir dengan banyaknya. Terhencut-hencut aku menahan kesakitan.

"Aku nak pi cari plaster luka. Kaki aku luka.."
"Pasaipa kaki hang? Macam mana boleh luka?"
"Ada la.. Hish! Sibuk la hang ni."
"Dak..Aku tanya ja. Meh sini aku tengok teruk ke tak?"
"Tak payahla!"
"Meh la sini aku tengokkan"
"Ish! Tak payah la! Ni mana satu plaster luka yang elok?"
"Ni cantik!"

Sambil tergelak, aku tunjukkan padanya sekotak plaster luka bercorak binatang,

"Ahahaha.. Bengong!"
"Tak de hang amik yang ni, yang ni ada macam-macam saiz. Besar ke luka kaki hang tu?"
"Takdela besar sangat,"

Sambil dia menunjukkan kakinya yang luka itu.

"Ha..okla yang tu."
"Ok.. Aku amik yang ni,"

Dia melemparkan senyuman......

Aku tersenyum sambil tanganku masih lagi memegang ibu jari kakiku yang masih lagi berdarah. Aku capai kotak pertolongan cemas, aku ubati kakiku. Setelah selesai, aku balutkan dengan plaster luka bercorak binatang. Dalam keadaan kaki yang sakit itu pun aku masih lagi boleh tersenyum.

'Gila kot aku ni'

Bersambung...








INTRO 2 : Refrain..

Senyap sunyi ketika ini. Jelas kedengaran detik jam berbunyi yang tergantung di dinding pejabatku. Hari ini, hanya aku seorang yang berkerja. Aku masih lagi duduk di tempat yang sama. Masih lagi memikirkan si gadis bermata coklat itu. Tidak pernah aku lupakan senyuman pada bibir kecilnya, tawanya, marahnya. Hanya sedihnya tak keterlihatan, menunjukkan betapa dia menyimpan. Tapi aku tahu, jauh di sudut hatinya, dia menyimpan beribu rasa. Dari raut wajahnya, aku mengerti walaupun bibir mengucapkan kata 'OK'. Kadang puas aku bertanya,

"Hang ok ke tak ni?"
"Ok je, awat?"
"Takde apa lah, saja aku tanya. Aku tengok hang macam tak ok je."
"Awat hang ni, aku ok je lah. Tak payah nak buat teruk haih"
"Ala.. Aku tanya je, tak payahla nak marah.. Ahahahah.." 

Hanya senyum aku lemparkan. Pertanyaan hanya terhenti di situ. Tidak pernah berlanjutan, senyumnya dibuat-buat. Aku mengerti, jadi tidak aku paksa dia untuk menjawab. Biasanya dia akan cuba mengubah topik perbualan, aku layankan saja. Lagi pun memang adalah kepantangan padanya jika aku terlalu mengambil berat akan dirinya, rimas katanya. Aku lihat jalur-jalur halus yang menghiasi tapak tangannya. Kelihatan kasar seperti tangan lelaki, tidak seperti tangan perempuan lain yang biasa aku lihat.

"Awat aku tengok kasaq tangan hang ni?"
"Biasalah..aku dulu macam jantan, duk ikut pak aku kerja pi ikat batu bagai"
"Oooooo..."

Lantas dilarikan tangannya, segan. Aku hanya senyum meleret. Aku kagum, gadis sekecil itu rupanya adalah seorang yang sangat kuat. Jauh berbeza dari susuk tubuhnya. Tapi dia terlalu memendam, aku tahu. Kisah lalu mengenai dirinya tidak pernah aku tanyakan. Aku hanya mendengar pabila dia sendiri yang bercerita. Bukan aku tak mahu tahu tentang kisah hidupnya, aku tak mahu dia teringat akan kisah yang membuatkan dirinya sedih. Aku tak mahu dia bersedih sebab aku terlalu....

"Ermm...."

Terasa seperti ada sesuatu yang ingin keluar dari mata. Aku bangkit dan bergegas ke bilik air. Aku buka pili air, aku tadah air dan aku simbahkan pada muka. Segar aku rasakan. Aku lihat jam di tangan, sudah jam 03.15 petang. Aku teringat solat Zuhur masih belum aku tunaikan, cepat-cepat aku ambil wuduk dan terus menunaikan solat. Selesai solat, aku menadah tangan, moga diberikan kesejahteraaan serta diampunkan segala dosa-dosaku, dosa kedua ibu bapaku, seluruh ahli keluargaku dan rakan taulan yang masih hidup atau yang telah tiada. Tidak lupa juga kepada gadis bermata coklat itu, moga dia bahagia, moga dia gembira, moga dia sihat sejahtera.

Aku berjalan dengan perlahan kembali ke tempat dudukku. Aku kebosanan, lalu aku mainkan pemain MP3 yang tersedia di ruang 'desktop' komputer ribaku. Aku klik dan aku lihat senarai lagu yang ada. Mata aku tertumpu pada sebuah lagu nyanyian Afgan bertajuk 'Refrain' atau dalam erti kata lain 'Hold Back', menahan diri dari menyatakan sesuatu. Aku mainkan lagu itu, alunan piano mula mengiringi bait-bait lirik,

If  I can sing of everything
That we have been through, I ran out of words
But if I could sing on just one thing
Baby you're melody

If I wanna write
A story about you and me
What it really means
I ran out pages

But if I could write
For just one moment
It will be forever

Maybe I felt it all alone
Maybe I was afraid
To find that you're where I belong
And say the words I later say

Now I try to deny this feeling
Who am I giving
Who are you giving

You're the song that won't stop playing
You're the part that keeps repeating
Singing it all over again

Like a refrain.. You're my refrain..

Aku bersiul-siul kecil mengikuti rentak lagu, dan kala itu aku masih lagi teringatkan gadis bermata coklat. Kisah antara aku dan dia. Tidak satu pun yang terlucut dari ingatan. Masih segar diminda, seperti baru semalam ia berlaku. Tutur kata dan gerak gerinya sering aku perhatikan dari jauh begitu juga dia. Apabila bertentang mata, kami hanya tersenyum atau tertawa kecil.

Jadual hariannya sudah hampir aku hafal. Pagi dia pergi kerja, waktu dia pulang sekitar jam 05.30 petang, selepas itu dia akan keluar bersama buah hatinya. Dan akan pulang kira-kira jam 10.30 malam. Dalam jarak masa itu, aku sentiasa menanti mesej darinya. Tidak berani aku menghubunginya ketika dia keluar bersama buah hatinya. Takut-takut kalau aku menganggu, jadi perkara yang aku hanya boleh lakukan hanyalah menunggu. Ya, menunggu dengan penuh kesabaran. Untuk apa aku menunggu khabar darinya? aku sendiri tidak mengerti. Kadang aku menunggu hingga hampir lewat malam, dan hanya sepatah perkataan yang aku kirimkan padanya,

"Goodnight"

Mungkin dia terlupa, mungkin dia sudah tidur kerana kepenatan, jadi aku biarkan. Jikalau dia belum tidur, dialah menjadi peneman hingga aku terlelap tapi selalunya dia yang terlelap lebih awal,

"Aku ngantuk dah ni, jom tidoq"
"Joooooommm!!!!"

Selang beberapa minit, si dia akan menghantarkan mesej kepada ku,

"Hoi! Kata tadi nak tidoq? Yang hang duk online lagi awat?"
"Aku tak ngantok lagi la. Ahahaha.."
"Cisssss!!!"
"Ahahahahha...."

Kadang berlanjutan perbualan antara aku dan dia, sedangkan sudah beberapa kali mengucapkan selamat malam. Itulah hiburan aku setiap hari, sebab aku dan dia sememangnya rapat. Pabila aku sakit, selalunya aku mengubati diriku sendiri, cuma kadang aku mengadu padanya.

"Aku rasa macam nak selesema dan batuk la, tekak perit je ni"
"Hang pi la makan ubat"
"Dah makan tadi"
"Ok, jangan minum ais"
"Tapi aku baru je order Milo Ais. Heeee..."
"Ha eloklah..Dah lepas ni sakit jangan ngada nak duk mengadu dengan aku!"
"Ehehehe..ter'order'. Bukan sengaja"
"Dah la! Menyampah aku dengan hang! Bye!"
"Sorry"

Aku tak pasti, adakah dia benar-benar marah atau tidak. Aku biarkan, hanya maaf yang mampu aku ungkapkan. Hubungan antara aku dan dia susah untuk aku tafsirkan. Secara kasarnya, aku dan dia adalah seperti teman rapat. Sebagai teman rapat, kami sentiasa bertukar pendapat, meluahkan masalah bersama dan itu adalah perkara normal yang dilakukan sebagai teman rapat. Sebagai seorang 'teman', aku terlalu mengambil berat akan dirinya. Aku mahu memastikan dia tidak sakit. Menjaga hatinya supaya dia tidak sedih. Walau aku tahu, dia sudah ada yang punya. Tidak terniat atau terlintas di hati ini untuk pisahkannya dari sesiapa. Bukan aku mahu mengganggu-gugat kebahagian yang dikecapinya.

Seiring perjalanan waktu, aku mulai merasakan sesuatu dalam diriku. Sesuatu yang aneh aku rasakan. Pernah juga aku bertanyakan kepada diriku,

"Kenapa perlu aku sakit hati bila dia tinggalkan aku dulu?"
"Kenapa perlu aku berasa sedih tatkala dia mengucapkan perkataan 'kahwin'?"

Bila dulu dia tinggalkan aku, bergetar seluruh raga, lemah segala anggota, terasa sesak nafasku,

"Kenapa??"

Benak hatiku bertanya. Aku masih cuba menafikan perasaan aku waktu itu. Masih cuba menipu diriku sendiri.

'Aku dan dia hanya seorang kawan. Tak lebih dari itu'

Tiap saat dan waktu cuba aku benamkan kata-kata itu di dalam otakku. Cuba aku buang perasaan itu jauh-jauh, cuba aku hindarkan. Tapi, terlalu payah aku rasakan. Cukup berat rasa hati tika itu. Tapi apakan daya, aku relakan jiwa. Aku tabahkan hati, dengan penuh kesabaran menempuhi hari-hari mendatang. Menahan jiwa yang meronta. Hingga kini, aku masih lagi menafikan perasaan itu. Sebab, aku tahu tempat yang selayaknya di mana, aku ini bukan sesiapa pada dirinya. Aku hanyalah orang 'asing'. Tiada tempat dan hanya menumpang sementara di sudut hatinya. 


BERSAMBUNG...

INTRO 1 : Again...

AKU tersentak dari lena, terasa sakit pada bahagian tengkuk. Tak tahu berapa lama aku terlelap di hadapan komputer riba aku. Aku lihat baki kerja aku yang tergendala masih terpapar di skrin komputer. Aku perhatikan jarum jam tanganku, jam 02.45 petang. Hidung aku masih lagi tersumbat, tekak masih lagi gatal. Sudah beberapa hari aku mengalami selesema dan batuk, tapi hari ini ternyata berkurangan dari hari sebelumnya. Aku capai sebotol air mineral yang terletak di hadapan aku. Aku buka penutupnya dan aku teguk laju. Aku seperti terdengar bunyi rintik hujan. Aku bingkas, menuju ke tingkap yang berada tidak jauh dari meja aku. Aku selak tirai yang menghadang penglihatanku, aku lihat titis-titis hujan sudah pun membasahi permukaan tingkap, aku jenguk ke bawah. Kelihatan manusia sibuk berlari-lari mencari tempat teduh dari terkena hujan.

"Alhamdulillah"

Sudah beberapa bulan bumi ini dilanda kemarau. Bersyukur ke hadrat Illahi yang mendatangkan hujan. Aku kembali semula ke tempat duduk ku untuk menyudahkan kerja yang sejak dari tadi tergendala. Mata dan tangan mula memainkan peranan. Satu persatu imej yang tertera di skrin aku pilih dan aku 'edit'. Cukup malas aku rasakan tika ini, ditambah dengan selesema dan batuk sedikit sebanyak menganggu fokus tapi amanah yang diberi harus aku lunaskan segera. Setiap satu imej yang dipilih dan di'edit' perlu aku 'caption'kan. Begitulah kerja aku setiap hari, itulah amanah yang harus aku pikul untuk mencari rezeki. Setelah selesai semuanya, aku klik pada butang 'send'. Terasa sedikit beban yang ada berkurangan.

Aku bersandar pada kerusi, tangan aku silangkan ke belakang kepala. Melepaskan lelah,

"Hufffff...."

Mata masih lagi tertumpu pada skrin komputer, tak tahu apa yang harus aku lakukan. Tiba-tiba aku teringatkan gadis itu. Setiap senyum, bebelan dengan loghat utara yang kadang- kadang aku sendiri tak faham.

"Ha?apa dia?sorry la aku tak faham lansung"
"Ceh!sudah la!Aku cemuih dengan hang ni!"
"Cemuih awat?"
"Dah-dah! Aku sibuk! Bye!"
"Ahahahaha..."

Dan di saat itu juga aku tertawa kecil, terukir senyuman di bibir tanpa aku sedari. Saban hari aku melayani kerenahnya yang cukup membuat hari-hari aku sempurna. Sering membuat aku tertawa, walaupun adakalanya dia sedang marah pada diriku kerana tidak serius pabila berbicara.

"Gila! yang hang duk gelak-gelak ni awat?"
"Aku gelak pun tak boleh ke?"
"Cess.. Bongok!"
"Ahahahaha.."

Tiada permulaan hari tanpa mengucapkan Selamat Pagi padanya, takkan lengkap hariku kiranya tidak berbual melalui pesanan ringkas dan mengucapkan Selamat Malam sebelum tidur. Celotehnya seolah 'bedtime story' yang menjadi peneman sebelum terlelapnya mata. Aku dan dirinya jarang bertentang mata tapi renungan mata coklat itu, sering aku rindukan. Ada sesuatu pada matanya, yang tiada pada mata coklat lain membuatkan aku sentiasa ingatkan dirinya...

Bersambung...






Tuesday, March 4, 2014

LEPAS..PERGI..

SEDANG aku cuba melelapkan mata yang sejak dari tadi mengantuk. Tiba-tiba perasaan ini seolah disentap oleh sesuatu. Hati tak keruan, badan menjadi seram sejuk tidak semena-mena. Mata yang tadi terasa berat kini menjadi segar. Puas aku cuba lelapkan mata, namun gagal. 

"Aaaarrgghhhh!!!!"

Terus aku bangkit dari tempat tidurku. Sehelai singlet dan sepasang seluar aku sarungkan pada tubuh. Kunci yang terletak atas meja di tepi katil terus aku capai. Telefon bimbit aku selukkan ke dalam kocek seluar. Aku melangkah keluar dengan laju dan terus menghidupkan enjin kereta.

"Oi! kau apehal pagi-pagi buta ni? Nak pergi mana woi?!"

Soalan rakan serumahku tak aku endahkan. Aku terus mengundurkan kereta dan memandu pergi. Fikiranku menerawang jauh. Jantung aku masih berdegup kencang. Sakit, pedih, bagai disentap-sentap jantung ini. Aku berhenti di hadapan kedai serbaneka 24 jam yang terletak tidak jauh dari rumahku. Aiskrim Cornetto Coklat dan air epal menjadi pilihanku. 

"semuanya RM4.80 bang."

Aku keluarkan not lima ringgit dari dalam dompet, baki duit syiling dua puluh sen dipulangkan kepadaku. Gadis juruwang itu melemparkan senyuman ketika memulangkan baki wang tadi. Tapi senyumnya tidak aku balas. Aku tak rasa seperti mahu senyum. Serta-merta air muka gadis itu berubah, mulutnya dicebik. Mungkin sedang mengumpat aku di dalam hati. Aku tak mempedulikannya, aku menuju ke kereta dan bersandar pada pintu. Mataku melihat aiskrim yang tergenggam erat di tangan. Lama aku tenung aiskrim coklat itu. Ada sesuatu pada aiskrim itu yang membuat aku tenang. Aku koyak perlahan pembalut aiskrim itu dan aku suapkan ke dalam mulut. Sejuk dan menenangkan tatkala isinya mencair di dalam mulut.

Jantung yang tadi berdegup kencang, kembali normal. Namun, rasa pedih, rasa seperti dicarik-carik hati kecil ini masih ada. Ada sesuatu yang harus aku LEPASKAN, ada perkara yang harus aku terima keputusannya. Tapi....

'belum..masih terlalu awal..terlalu awal untuk aku lepas pergi.terlalu awal untuk aku menerima keputusan ini'

Hati ini seperti berat mahu melepaskan, membiarkan ia berlalu pergi mencipta bahagianya sendiri. Seolah takut untuk ditinggal bersendirian. Aku merasakan aku mula menjadi seorang yang mementingkan diri sendiri tika ini. Sejak dari mula, aku sudah mengerti dan sejak dari itu, aku sudah memahami risikonya. Tapi aku berdegil, dan kini aku menanggung akibat. Memang soal hati dan perasaan tidak boleh diduga sama sekali. Ia boleh datang dan pergi sesuka hati, lantas meninggalkan bekas di hati.

YA.. Ada perkara yang kita harus lepaskan tanpa kerelaan hati, terpaksa mengorban secebis perasaan. Suatu sudut di ruang hati yang dulu dipenuhi dengan rasa harus dikosongkan serta-merta. Mengorbankan perasaan yang tersedia untuk melihat bahagia pada yang lain. Sememangnya terlalu rumit untuk difahami oleh diri sendiri apatah lagi orang lain.

'mengapa aku harus begini?kenapa?'

Air liur yang ditelan terasa kasar. Seperti ada sesuatu yang melekat pada rongga tekakku. Aku capai kotak jus epal yang sejak dari tadi belum aku sentuh. Lantas aku buka dan aku teguk laju, melegakan tekak yang perit.

Apa yang bukan milik kita.. Akan sentiasa kekal bukan milik kita. Sedalam dan sekuat mana perasaan yang kita pegang tika ini. Rela ataupun tidak, bersedia ataupun belum diri kita untuk menerimanya, ia tetap berlalu pergi meninggalkan kita. Tiada apa yang mampu menghalang. Tiada apa yang boleh dilakukan selain memandang sepi, merelakan jiwa yang bukan hak kita mencipta ceritanya sendiri, membina bahagianya sendiri.

Setitik air mata jatuh di tangan yang masih menggenggam erat pembalut aiskrim tadi. Cepat-cepat aku seka lebihan air mata yang meleleh. Aku menarik nafas seketika, aku buangkan bekas makan tadi ke dalam tong sampah berdekatan. Kereta sedan yang setia menjadi peneman sejak dari tadi, aku hidupkan. Aku pecut laju menuju ke rumah, tapi hati tak terasa ingin pulang. Mahu saja aku memandu ke merata tempat, oleh kerana sudah lewat pagi. Jadi aku membuat keputusan untuk pulang ke rumah saja. Setibanya di rumah,

"Kau pergi mana?"

Terus aku masuk ke dalam bilik tidur dan mengunci pintu. Rakan serumahku yang masih berada di ruang tamu tak aku tegur. Aku merebahkan tubuh ke tilam. Masih tersisa perit di hati. Namun, aku biarkan saja. Cuba ku katupkan mata tetap tidak berhasil untuk tidur. Aku lihat jam sudah menunjukkan pukul 03:30 pagi. Entah berapa lama lagi harus aku berjaga. Ikutkan rasa hati, tak mampu rasanya nak menghadap realiti. Aku menguatkan hati, mengeraskan jiwa. Mahu atau tidak, harus aku tempuhi juga.

'berikan aku ruang untuk mencipta kenangan bersama sebelum mengucapkan kata pergi'

p/s: aku bukan minta simpati dan aku bukannya seorang yang lemah.

Wednesday, February 19, 2014

ANTARA NALURI HATI DAN PEMIKIRAN

Mengatur langkah longlai menuju ke kereta yang terletak jauh di sebatang jalan yang kiri dan kanannya dipenuhi pepohon yang rendang kerana keletihan setelah seharian menyelesaikan tugasanku. Sambil aku melangkah, kepala aku ligat memutarkan persitiwa semalam.

Satu perkara yang aku tak pernah lakukan, satu perkara yang aku sendiri tak pernah jangka akan berlaku. Satu-satunya perkara yang aku anggap GILA. Keputusan yang mengikut gerak hati, tanpa berfikir panjang. Aku rasakan cukup seronok, cukup 'thrill' bagi diri aku. Hinggakan aku dikatakan tidak siuman oleh rakan serumahku.

"Orang kalau ada masalah, termenung, muka masam. Ni tak, duk renyih (senyum) sorang-sorang dah macam orang tak betul je aku tengok"

Aku hanya tergelak mendengar kata rakanku itu. Tapi memang benar, aku mengaku memang aku mempunyai masalah. Tapi entah mengapa, aku jadi begini. Masalah yang mendatang, tidak aku hiraukan. Hingga aku lakukan perkara yang lansung tidak aku rancang sebelum ini.  

"GO FOR IT! You got nothing to lose"

Ya! Tiada apa yang merugikan bagi diriku. Aku hanya mencuba nasib. Kalau ada, memang itu rezeki aku. Kalau tiada rezeki, apakan daya. Yang paling penting adalah usaha sebaiknya dan kemudian berserah kepada takdir Yang Maha Esa. Tapi ternyata, nasib tidak menyebelahi aku. Memang aku tipu kalau dikatakan tidak berasa kecewa walau sedikit pun. Namun segalanya dapat aku atasi dengan pemikiran yang positif dan matang. Aku jadikan ia sebagai pengalaman yang akan aku jadikan pedoman pada masa akan datang.

Kadang kita perlu ikut gerak hati dalam membuat keputusan. Tapi bukan secara membuta tuli tanpa analisis secara menyeluruh dan seterusnya, pandangan dari orang yang lebih berpengalaman juga diperlukan bagi membantu untuk kita membuat keputusan. Ditambah pula dengan Solat Istikharah dan doa yang tidak putus-putus memohon keampunan dan petunjuk dari Yang Maha Kuasa supaya dipermudahkan segala urusan dan untuk ketenangan jiwa. Akhir sekali, barulah kita berserah kepada Qada' dan Qadar. Mendapat sokongan dari ahli keluarga dan sahabat juga menjadi satu bonus untuk kita dalam melakukan sesuatu.

Tiba di keretaku, kunci yang tersimpan di dalam kocek aku keluarkan. aku tekan punat pada alat kawalan jauh untuk membuka pintu kereta. Aku simpan segala peralatan kerja di ruang belakang kereta. Aku buka pintu di tempat duduk pemandu dan masuk. Tika ini, masih lagi aku tersenyum memikirkan hal semalam. Hidup ini sememangnya penuh dengan kejutan dan kejaiban yang kita sendiri tidak pernah menduga.

p/s: Semoga kamu bahagia dengan pilhan kamu.....


Sekian......




Sunday, February 16, 2014

Sinar...

SEDANG aku berbaring, tiba-tiba kedengaran rintik hujan turun dengan lebatnya. Aku terus bergegas keluar untuk mengalihkan baju yang aku sidai di luar rumah. Sudah beberapa bulan tiada setitik rintik hujan yang turun membasahi bumi. Selesai aku mengalihkan jemuran, aku mengalihkan padangan ke langit yang masih menghamburkan isinya. Sedikit kelegaan dapat aku rasakan. Ketenangan menyelubungi hati tatkala menghirup udara segar sambil mendengar dendangan rintik hujan. 

Hati ini.... Sedikit tenang kebelakangan ini. Aku semakin boleh menerima hakikat perjalanan hidup 
yang aku tempuhi saat ini. Bukan kerana aku melupakan apa yang terjadi, bukan aku cuba membenci atau membuang segala perasaan ini. Aku cuma mahu melihat ke hadapan dan ku rasakan tidak perlu lagi aku  berjalan mengundur. Segala apa yang berlaku, aku anggap sebagai ketentuan hidup aku yang mungkin telah pun tertulis di Lul Mahfuz sejak dari azali. Dengan siapa aku bertemu, kemudian berpisah, dan bertemu kembali dengan insan lain semuanya sudah ditentukan olehNYA.

Mungkin kita sebagai manusia kadang kita terlupa, bahawa segala Qada' dan Qadar itu adalah sebaik-baik perjalanan. Kita sebagai manusia harus menerima ketentuan ini dengan redha dan menganggap segala apa yang terjadi adalah ujian daripadaNYA supaya kita tidak terus kecewa/makan hati yang boleh mengakibatkan diri kita merana di kemudian hari. 

Tidak sampai lima minit hujan yang tadi turun dengan lebatnya, kini sudah terhenti. Walau tidak lama, cukuplah ia membasahi bumi yang telah lama kekeringan. Aku masih lagi berdiri di beranda rumah melihat langit. Mentari mula menyinari bumi yang masih basah. Hatiku sungguh tenang tatkala melihat keindahan alam ciptaanNYA. Subhanallah! Allahuakhbar!

Masih ada sinar walau mendung bertandang....







     

Wednesday, January 1, 2014

SALAM TAHUN BARU 2014!!

SEDANG aku duduk seorang di hadapan komputer, mataku tertumpu pada jam dinding yang terletak di ruang tamu. Jam sudah pun menunjukkan  pukul 10.15 malam (sewaktu artikel ini sedang ditulis). Aku hampir terlupa yang hari ini telah masuk tahun baru, 01 JANUARI 2014. Sedar tak sedar umurku bertambah lagi. Segala kenangan pada tahun 2013 terpahat kemas dalam hati ini. Segala kenangan suka dan duka aku lipatkan dalam sanubari. Sekarang sudah masanya aku membuka lembaran baru dalam hidup aku. Aku bukan jenis suka berazam setiap kali tiba tahun baru. Bagi aku, setiap kekurangan diri harus dibaiki setiap hari, bukan pada setiap tahun. Itu pandangan aku, tapi tak salah bagi sesiapa hendak berazam pun.

Kehidupan aku banyak berubah, dari segi kerja mahupun peribadi. Terlalu banyak yang aku pelajari sepanjang tahun 2013. Walau semuanya tak seindah fantasi, tapi realiti mengajar aku segalanya. Gelojak hubungan tak kira samada profesionalisme atau peribadi membuatkan aku semakin tabah mengharungi hari-hari mendatang. Mematangkan pemikiranku seiring dengan usia. 

Perancangan untuk tahun ini, aku masih belum fikirkan. Tapi yang pasti aku mahukan segalanya menjadi lebih baik. Melihat rakan-rakan sekolah, rakan sekerja yang dahulunya bujang kini telah berkeluarga. terdetik rasa hati untuk berkahwin. Aku sendiri tidak pasti siapakah jodohku. Terlalu banyak dugaan yang mendatang hingga kadang-kadang aku hampir putus asa. Hanya doa yang mampu aku pohonkan pada Yang Maha Esa. 

Aku jeling ke arah jam dinding, tinggal lagi beberapa minit sahaja lagi untuk masuk 02 Januari 2014, masa berlalu pantas, terpulang kepada kita sebagai manusia samada untuk mengejar MASA atau terus tercicir ke belakang. Sentiasa mendekatkan diri kepada Pencipta, memperbaiki diri pada setiap masa dan seterusnya mematangkan pemikiran sebagai seorang manusia. Mata mulai terasa berat, sudah tiba masanya untuk aku tidur kerana awal pagi esok ada tanggungjawab yang harus aku lunaskan sebagai seorang Jurufoto. 

Selamat Malam.. Selamat Tahun Baru 2014!!


P/s: Kepada rakan baikku yang bakal mendirikan rumah tangga tahun ini. Aku kirimkan doa, moga kebahagiaan kekal menjadi milikmu.
Kepada N, maafkan aku sekiranya aku masih belum membuat keputusan, tapi yang pasti aku amat sayangkan kamu. Hanya waktu sebagai penentu dan bila tiba masanya, akan aku beritahu.
Kepada Q, Selamat Tahun Baru.. :)