Tuesday, March 4, 2014

LEPAS..PERGI..

SEDANG aku cuba melelapkan mata yang sejak dari tadi mengantuk. Tiba-tiba perasaan ini seolah disentap oleh sesuatu. Hati tak keruan, badan menjadi seram sejuk tidak semena-mena. Mata yang tadi terasa berat kini menjadi segar. Puas aku cuba lelapkan mata, namun gagal. 

"Aaaarrgghhhh!!!!"

Terus aku bangkit dari tempat tidurku. Sehelai singlet dan sepasang seluar aku sarungkan pada tubuh. Kunci yang terletak atas meja di tepi katil terus aku capai. Telefon bimbit aku selukkan ke dalam kocek seluar. Aku melangkah keluar dengan laju dan terus menghidupkan enjin kereta.

"Oi! kau apehal pagi-pagi buta ni? Nak pergi mana woi?!"

Soalan rakan serumahku tak aku endahkan. Aku terus mengundurkan kereta dan memandu pergi. Fikiranku menerawang jauh. Jantung aku masih berdegup kencang. Sakit, pedih, bagai disentap-sentap jantung ini. Aku berhenti di hadapan kedai serbaneka 24 jam yang terletak tidak jauh dari rumahku. Aiskrim Cornetto Coklat dan air epal menjadi pilihanku. 

"semuanya RM4.80 bang."

Aku keluarkan not lima ringgit dari dalam dompet, baki duit syiling dua puluh sen dipulangkan kepadaku. Gadis juruwang itu melemparkan senyuman ketika memulangkan baki wang tadi. Tapi senyumnya tidak aku balas. Aku tak rasa seperti mahu senyum. Serta-merta air muka gadis itu berubah, mulutnya dicebik. Mungkin sedang mengumpat aku di dalam hati. Aku tak mempedulikannya, aku menuju ke kereta dan bersandar pada pintu. Mataku melihat aiskrim yang tergenggam erat di tangan. Lama aku tenung aiskrim coklat itu. Ada sesuatu pada aiskrim itu yang membuat aku tenang. Aku koyak perlahan pembalut aiskrim itu dan aku suapkan ke dalam mulut. Sejuk dan menenangkan tatkala isinya mencair di dalam mulut.

Jantung yang tadi berdegup kencang, kembali normal. Namun, rasa pedih, rasa seperti dicarik-carik hati kecil ini masih ada. Ada sesuatu yang harus aku LEPASKAN, ada perkara yang harus aku terima keputusannya. Tapi....

'belum..masih terlalu awal..terlalu awal untuk aku lepas pergi.terlalu awal untuk aku menerima keputusan ini'

Hati ini seperti berat mahu melepaskan, membiarkan ia berlalu pergi mencipta bahagianya sendiri. Seolah takut untuk ditinggal bersendirian. Aku merasakan aku mula menjadi seorang yang mementingkan diri sendiri tika ini. Sejak dari mula, aku sudah mengerti dan sejak dari itu, aku sudah memahami risikonya. Tapi aku berdegil, dan kini aku menanggung akibat. Memang soal hati dan perasaan tidak boleh diduga sama sekali. Ia boleh datang dan pergi sesuka hati, lantas meninggalkan bekas di hati.

YA.. Ada perkara yang kita harus lepaskan tanpa kerelaan hati, terpaksa mengorban secebis perasaan. Suatu sudut di ruang hati yang dulu dipenuhi dengan rasa harus dikosongkan serta-merta. Mengorbankan perasaan yang tersedia untuk melihat bahagia pada yang lain. Sememangnya terlalu rumit untuk difahami oleh diri sendiri apatah lagi orang lain.

'mengapa aku harus begini?kenapa?'

Air liur yang ditelan terasa kasar. Seperti ada sesuatu yang melekat pada rongga tekakku. Aku capai kotak jus epal yang sejak dari tadi belum aku sentuh. Lantas aku buka dan aku teguk laju, melegakan tekak yang perit.

Apa yang bukan milik kita.. Akan sentiasa kekal bukan milik kita. Sedalam dan sekuat mana perasaan yang kita pegang tika ini. Rela ataupun tidak, bersedia ataupun belum diri kita untuk menerimanya, ia tetap berlalu pergi meninggalkan kita. Tiada apa yang mampu menghalang. Tiada apa yang boleh dilakukan selain memandang sepi, merelakan jiwa yang bukan hak kita mencipta ceritanya sendiri, membina bahagianya sendiri.

Setitik air mata jatuh di tangan yang masih menggenggam erat pembalut aiskrim tadi. Cepat-cepat aku seka lebihan air mata yang meleleh. Aku menarik nafas seketika, aku buangkan bekas makan tadi ke dalam tong sampah berdekatan. Kereta sedan yang setia menjadi peneman sejak dari tadi, aku hidupkan. Aku pecut laju menuju ke rumah, tapi hati tak terasa ingin pulang. Mahu saja aku memandu ke merata tempat, oleh kerana sudah lewat pagi. Jadi aku membuat keputusan untuk pulang ke rumah saja. Setibanya di rumah,

"Kau pergi mana?"

Terus aku masuk ke dalam bilik tidur dan mengunci pintu. Rakan serumahku yang masih berada di ruang tamu tak aku tegur. Aku merebahkan tubuh ke tilam. Masih tersisa perit di hati. Namun, aku biarkan saja. Cuba ku katupkan mata tetap tidak berhasil untuk tidur. Aku lihat jam sudah menunjukkan pukul 03:30 pagi. Entah berapa lama lagi harus aku berjaga. Ikutkan rasa hati, tak mampu rasanya nak menghadap realiti. Aku menguatkan hati, mengeraskan jiwa. Mahu atau tidak, harus aku tempuhi juga.

'berikan aku ruang untuk mencipta kenangan bersama sebelum mengucapkan kata pergi'

p/s: aku bukan minta simpati dan aku bukannya seorang yang lemah.