Friday, August 15, 2014

Chapter 2: Jiwa Manusia

Sudah lewat malam, tapi mata ini masih belum mengantuk. Aku baru sahaja pulang dari bertemu rakan-rakan sekolah. Bermacam cerita dikongsikan, dari hal kerja hingga hal kehidupan masing-masing. Semuanya sudah ada jalan hidup sendiri, yang membezakan hanya rezeki masing-masing. Di sebalik kegembiraan itu, hatiku gundah, entah kenapa. Puas aku cuba tenangkan jiwa. Cuba aku mengukir senyuman, ternyata kadang aku tak mampu untuk menyembunyikan kepedihan jiwa. Ya, aku cuma manusia biasa.

************************************************************************

"Abah, nanti minta tolong hantarkan ke stesen KTM, nak keluar sekejap"
"Pukul berapa?"
"Pukul 3 petang"
"Ha..Ok."

Aku tersenyum, bungkusan plastik berisi cenderahati aku simpankan ke dalam beg galas. Aku menjeling ke arah jam tanganku, jam 2 petang. Aku capai tuala dan aku bergegas ke bilik air, takut-takut aku terlewat. Selesai mandi aku bersiap, t-shirt lengan panjang dan seluar jeans menjadi pilihan aku. Aku suka pakaian yang ringkas dan selesa tatkala berjalan jauh. Terutama apabila menggunakan pengangkutan awam. beg yang terletak di kerusi aku galaskan ke bahu.

"Abah jom!"
"Ha?Tunggu kejap"

Tanpa bertanyakan apa-apa, abah yang sejak dari tadi baring terus bangkit sambil menggosok mata.

"Ok. Jom cepat!"

 Aku kunci pintu rumah, aku berlari-lari anak menuju ke kereta abah. Dan abah terus memandu laju meninggalkan perkarangan rumah.

Dalam perjalanan menuju ke stesen KTM, 'Ting!'. Aku lihat telefon bimbitku, terpapar mesej ringkas daripada Dhia,

"Hang buat apa tu?"
"Aku dalam kereta, on the way ke stesen KTM. Aku nak pergi KL sekejap."
"Tak beritahu aku pun? Dah keluar baru nak beritahu. Jumpa siapa?"
"Ahaha.. Sorry la. Aku nak jumpa Sofea sekejap. Nak bagi souvenir yang aku beli hari tu. Lepas buka puasa aku balik la."
"Itu bukan sekejap, itu lama. Lepas buka puasa baru nak balik"
"Ahaha... Ala sekejap je. Lagipun dia kerja, aku nak kena booking tempat untuk berbuka dulu. So, dia akan datang kemudian. Habis makan aku balik la"
"ok"
"nanti aku dah balik aku beritahu hang, ok?"
"K"

Barangkali Dhia marah. Mungkin marah kerana tidak memberitahunya awal-awal. Aku cuma tersenyum kecil. Kadang aku sendiri tidak mengerti apa yang bermain di kepalanya. Selalunya aku hanya diamkan, Dhia sememangnya begitu sejak dari mula aku kenali dirinya. Segala tingkah lakunya betul-betul di luar dugaan.

************************************************************************

Aku capai kad Touch n' Go, aku layangkan pada penghalang automatik yang tersedia, 'Tit!'.
Aku melepasi penghalang itu, aku lihat LRT sudah lama tiba. Aku lihat jam,

"Kalau tunggu lagi satu trip, boleh lambat aku macam ni."

Aku berlari laju menaiki anak tangga menuju ke platform yang terletak di seberang. Aku lihat, hampir kesemua orang yang menunggu tadi sudah memasuki LRT. Aku menuruni anak tangga dengan laju, nyaris-nyaris saja aku tersadung kaki sendiri. Pintu LRT sudah hampir tertutup,

"HEY!!!! Tungguuuuuuu!!!"

Aku sempat menghadang pintu LRT dengan kaki. Pintu itu kembali terbuka dan terus aku melompat masuk.
Tercungap-cungap aku menarik nafas,

"Nasib baik sempat...."

Tiba-tiba terasa kering dan berpasir tekak aku,

"Kalau dapat air sejuk ni......ermmmm..."

Bayangan air sirap selasih sejuk memenuhi imaginasi cepat-cepat aku padamkan, aku hanya mampu menelan air liur.
Aku ternampak tempat duduk kosong antara dua orang wanita pertengahan umur. Aku terus menuju ke tempat duduk itu, aku hempaskan punggung sambil melepaskan lelah. Kedua-dua wanita itu melihat aku dengan pelik. Aku melihat keadaan diri aku seketika,

"Ada yang tak kena dengan aku ke? Baju ok. Seluar berzip, apa yang tak kena ni?"

Kedua-dua wanita itu menepuk bahu aku serentak sambil menunjuk ke arah cermin di hadapan kami. Aku melihat apa yang ditunjukkan mereka, pelekat lambang wanita berwarna merah jambu terpampang besar bertulis,

'KOC WANITA'

"Alamak...!"

Aku menepuk dahi. Aku hanya mampu tersengih macam kerang busuk. Aku bangkit perlahan,

"Sorry kak... Minta diri dulu ye.."

Kedua-dua wanita itu hanya menggelengkan kepala mereka. Ketika aku bangun dan berlalu pergi, baru aku tahu, aku memasuki koc khas wanita. Kesemua wanita di dalam koc tersebut memandang aku dengan pelik.

"Ya.. Allah.. Malunya aku. Patutlah banyak tempat kosong"

Aku hanya mampu menyengih. Sekumpulan gadis belasan tahun yang duduk berhadapan dengan aku tadi menggelakkan aku semahunya tanpa segan silu.

"Gelak macam setan, tak boleh buat bini lansung, Nasib korang la duduk di koc wanita, kalau taaakkk....ok, sabar.. Bulan puasa ni."

Diikutkan hati, mahu saja aku maki gadis-gadis tersebut yang tak tahu adab dan budaya ketimuran. Aku berjalan perlahan, mencari ruang tempat duduk yang kosong. Aku ternampak satu tempat duduk yang terletak di hujung koc. Aku duduk diam seketika. Aku sendiri tak tahu apa yang aku fikirkan. Terlalu banyak perkara yang bermain di fikiran. Setiap satunya bersilih ganti hingga pening dibuatnya. Aku buka beg sandang, aku keluarkan souvenir yang aku beli dari Sabah. Gelang tangan berhiaskan mutiara putih itu aku belek. Ada dua utas, satu berwarna emas, dan satu lagi berwarna perak. Satu untuk ibu Sofea dan satu lagi untuk dirinya. Aku senyum sendirian. Aku simpan semula gelang tersebut ke dalam bekas. Aku keluarkan dompet dari poket belakang untuk aku simpan kad Touch n' Go tadi. Takut-takut tercicir. Aku buka dompet aku, aku terlihat gambar yang aku letakkan di dalam dompet sejak sekian lama. Gambar seorang gadis cantik, berambut panjang dan berkulit hitam manis itu tersenyum bahagia di sisi aku. Ainan Sofea, gadis yang akan aku ketemu sebentar lagi.  Aku dan Sofea sudah berpisah. Masing-masing memilih jalan hidup sendiri. Tapi kami masih lagi berhubung sebagai kawan. Entah kenapa, aku masih lagi menghubunginya. Hinggakan ada dikalangan ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat masih tertanya-tanya mengapa aku dan dia masih lagi berhubung sedangkan kami sudah tidak mempunyai hubungan apa-apa.

"Ala... Takkan kawan pun salah? We still care bout each other. I still respect her parents. Lagi pun aku dah anggap parents dia macam parents aku sendiri"

Itulah jawapan yang aku lemparkan tiap kali aku diaju soalan tentang hubungan aku dan Sofea. Perasaan sayang itu masih ada. Cuma mungkin aku sendiri tidak berapa yakin pada diri, aku yang masih merasakan tidak cukup sempurna untuk dirinya. Ditambah dengan kehadiran Dhia dalam hati, benar-benar membuatkan aku keliru. Aku mengelamun sendirian, hanyut dalam buaian perasaan sendiri.

Bersambung...