Saturday, November 2, 2013

Ditemani secawan mocha di sebuah cafe di pinggir kota. Lampu malap dan lagu mengiringi suasana.
Berbekalkan sebuah komputer riba, jari-jemariku mula memainkan peranan di atas papan kekunci.

Tatkala aku mula menaip, fikiran aku mula menerawang jauh dalam kelam malam. Teringat aku sewaktu aku mula tiba di negeri kecil ini. Keseorangan tanpa sesiapa di sisi. segalanya masih baru bagi aku. Hingga tika, aku mula mengenali seorang gadis kecil molek. Lagatnya sering buat aku tertawa. Sebelum aku mengenali dirinya dengan lebih rapat, banyak cerita-cerita yang aku dengar. Tapi bagi aku itu hanya kata-kata orang. Tidak semua yang dikatakan orang itu benar,jika benar sekali pun siapalah aku untuk menghakimi gadis yang tidak bersalah ini. Kerana takdirnya sudah tertulis begitu, apakan daya bagi dirinya hendak menghalang.

Aku mula rapat dengan dirinya, kami bekerja dalam bidang yang sama cuma berlainan syarikat. Sering kali aku bertemu dengannya ketika tugasan. Tidak terhenti di situ, aku juga bertemu dengannya di luar waktu kerja, lepak bersama rakan-rakan seangkatan yang lain. Jarang sekali berdua kerana dia sudah berpunya dan aku juga tidak mahu menjadi punca masalah. Jadi aku bataskan pertemuan kami. Dia juga berasa begitu.

Tidak pernah terlintas di hati untuk aku menyukai dia lebih dari seorang rakan. Tapi hati ini, sayangkan dirinya. Sayang sebagai rakan atau lebih dari itu, aku sendiri tidak tahu. Mungkin aku juga keliru. Yang pasti, aku SAYANGkan dirinya. Akhir-akhir ini, aku sendiri bersikap pelik hingga membuatkan dirinya kurang selesa dengan aku. Aku seolah-olah layan dia lebih dari sepatutnya. Aku sendiri tidak menyedarinya. 

Malam semalam, dia mula menjelaskan segalanya padaku. Mulanya, sukar untuk aku menerima dan akhirnya aku terpaksa akur akan permintaannya. Aku harus bangkit dan sedar atas kekilafan yang telah aku lakukan. Dia seorang rakan yang baik, dan aku harus menghormati segala keputusannya. Aku juga bersalah kerana melampaui batas norma seorang rakan. Bagi aku, dia adalah rakan dan teman yang sentiasa ada tatkala aku memerlukan. Aku tidak mahu kehilangan seorang rakan gara-gara aku terlalu mementingkan diri.

Aku mengerlingkan ke arah jam tanganku, tepat pukul 1130 malam. Pelayan di cafe sudah pun mula mengemas meja-meja yang tadi dipenuhi pelanggan. Kini, hanya tinggal aku seorang yang masih mengelamun sejak dari tadi. Pelayan yang selesai mengemas meja terus menuju ke arahku dan tersenyum. Aku mengerti senyumannya itu, lantas aku keluarkan beberapa not kertas untuk membayar minuman tadi.

Aku menuju pulang ke rumah, tapi fikiran aku masih belum berada dipaksinya. Mungkin terlalu banyak permasalahan yang aku fikirkan...

MAAFKAN AKU ATAS SEGALANYA..
TERIMA KASIH ATAS SEGALANYA..
KAU TETAP RAKAN AKU UNTUK SELAMANYA.. A>>I


sekian...

No comments:

Post a Comment