Thursday, May 1, 2014

INTRO 1 : Again...

AKU tersentak dari lena, terasa sakit pada bahagian tengkuk. Tak tahu berapa lama aku terlelap di hadapan komputer riba aku. Aku lihat baki kerja aku yang tergendala masih terpapar di skrin komputer. Aku perhatikan jarum jam tanganku, jam 02.45 petang. Hidung aku masih lagi tersumbat, tekak masih lagi gatal. Sudah beberapa hari aku mengalami selesema dan batuk, tapi hari ini ternyata berkurangan dari hari sebelumnya. Aku capai sebotol air mineral yang terletak di hadapan aku. Aku buka penutupnya dan aku teguk laju. Aku seperti terdengar bunyi rintik hujan. Aku bingkas, menuju ke tingkap yang berada tidak jauh dari meja aku. Aku selak tirai yang menghadang penglihatanku, aku lihat titis-titis hujan sudah pun membasahi permukaan tingkap, aku jenguk ke bawah. Kelihatan manusia sibuk berlari-lari mencari tempat teduh dari terkena hujan.

"Alhamdulillah"

Sudah beberapa bulan bumi ini dilanda kemarau. Bersyukur ke hadrat Illahi yang mendatangkan hujan. Aku kembali semula ke tempat duduk ku untuk menyudahkan kerja yang sejak dari tadi tergendala. Mata dan tangan mula memainkan peranan. Satu persatu imej yang tertera di skrin aku pilih dan aku 'edit'. Cukup malas aku rasakan tika ini, ditambah dengan selesema dan batuk sedikit sebanyak menganggu fokus tapi amanah yang diberi harus aku lunaskan segera. Setiap satu imej yang dipilih dan di'edit' perlu aku 'caption'kan. Begitulah kerja aku setiap hari, itulah amanah yang harus aku pikul untuk mencari rezeki. Setelah selesai semuanya, aku klik pada butang 'send'. Terasa sedikit beban yang ada berkurangan.

Aku bersandar pada kerusi, tangan aku silangkan ke belakang kepala. Melepaskan lelah,

"Hufffff...."

Mata masih lagi tertumpu pada skrin komputer, tak tahu apa yang harus aku lakukan. Tiba-tiba aku teringatkan gadis itu. Setiap senyum, bebelan dengan loghat utara yang kadang- kadang aku sendiri tak faham.

"Ha?apa dia?sorry la aku tak faham lansung"
"Ceh!sudah la!Aku cemuih dengan hang ni!"
"Cemuih awat?"
"Dah-dah! Aku sibuk! Bye!"
"Ahahahaha..."

Dan di saat itu juga aku tertawa kecil, terukir senyuman di bibir tanpa aku sedari. Saban hari aku melayani kerenahnya yang cukup membuat hari-hari aku sempurna. Sering membuat aku tertawa, walaupun adakalanya dia sedang marah pada diriku kerana tidak serius pabila berbicara.

"Gila! yang hang duk gelak-gelak ni awat?"
"Aku gelak pun tak boleh ke?"
"Cess.. Bongok!"
"Ahahahaha.."

Tiada permulaan hari tanpa mengucapkan Selamat Pagi padanya, takkan lengkap hariku kiranya tidak berbual melalui pesanan ringkas dan mengucapkan Selamat Malam sebelum tidur. Celotehnya seolah 'bedtime story' yang menjadi peneman sebelum terlelapnya mata. Aku dan dirinya jarang bertentang mata tapi renungan mata coklat itu, sering aku rindukan. Ada sesuatu pada matanya, yang tiada pada mata coklat lain membuatkan aku sentiasa ingatkan dirinya...

Bersambung...






1 comment: