Thursday, May 1, 2014

INTRO 2 : Refrain..

Senyap sunyi ketika ini. Jelas kedengaran detik jam berbunyi yang tergantung di dinding pejabatku. Hari ini, hanya aku seorang yang berkerja. Aku masih lagi duduk di tempat yang sama. Masih lagi memikirkan si gadis bermata coklat itu. Tidak pernah aku lupakan senyuman pada bibir kecilnya, tawanya, marahnya. Hanya sedihnya tak keterlihatan, menunjukkan betapa dia menyimpan. Tapi aku tahu, jauh di sudut hatinya, dia menyimpan beribu rasa. Dari raut wajahnya, aku mengerti walaupun bibir mengucapkan kata 'OK'. Kadang puas aku bertanya,

"Hang ok ke tak ni?"
"Ok je, awat?"
"Takde apa lah, saja aku tanya. Aku tengok hang macam tak ok je."
"Awat hang ni, aku ok je lah. Tak payah nak buat teruk haih"
"Ala.. Aku tanya je, tak payahla nak marah.. Ahahahah.." 

Hanya senyum aku lemparkan. Pertanyaan hanya terhenti di situ. Tidak pernah berlanjutan, senyumnya dibuat-buat. Aku mengerti, jadi tidak aku paksa dia untuk menjawab. Biasanya dia akan cuba mengubah topik perbualan, aku layankan saja. Lagi pun memang adalah kepantangan padanya jika aku terlalu mengambil berat akan dirinya, rimas katanya. Aku lihat jalur-jalur halus yang menghiasi tapak tangannya. Kelihatan kasar seperti tangan lelaki, tidak seperti tangan perempuan lain yang biasa aku lihat.

"Awat aku tengok kasaq tangan hang ni?"
"Biasalah..aku dulu macam jantan, duk ikut pak aku kerja pi ikat batu bagai"
"Oooooo..."

Lantas dilarikan tangannya, segan. Aku hanya senyum meleret. Aku kagum, gadis sekecil itu rupanya adalah seorang yang sangat kuat. Jauh berbeza dari susuk tubuhnya. Tapi dia terlalu memendam, aku tahu. Kisah lalu mengenai dirinya tidak pernah aku tanyakan. Aku hanya mendengar pabila dia sendiri yang bercerita. Bukan aku tak mahu tahu tentang kisah hidupnya, aku tak mahu dia teringat akan kisah yang membuatkan dirinya sedih. Aku tak mahu dia bersedih sebab aku terlalu....

"Ermm...."

Terasa seperti ada sesuatu yang ingin keluar dari mata. Aku bangkit dan bergegas ke bilik air. Aku buka pili air, aku tadah air dan aku simbahkan pada muka. Segar aku rasakan. Aku lihat jam di tangan, sudah jam 03.15 petang. Aku teringat solat Zuhur masih belum aku tunaikan, cepat-cepat aku ambil wuduk dan terus menunaikan solat. Selesai solat, aku menadah tangan, moga diberikan kesejahteraaan serta diampunkan segala dosa-dosaku, dosa kedua ibu bapaku, seluruh ahli keluargaku dan rakan taulan yang masih hidup atau yang telah tiada. Tidak lupa juga kepada gadis bermata coklat itu, moga dia bahagia, moga dia gembira, moga dia sihat sejahtera.

Aku berjalan dengan perlahan kembali ke tempat dudukku. Aku kebosanan, lalu aku mainkan pemain MP3 yang tersedia di ruang 'desktop' komputer ribaku. Aku klik dan aku lihat senarai lagu yang ada. Mata aku tertumpu pada sebuah lagu nyanyian Afgan bertajuk 'Refrain' atau dalam erti kata lain 'Hold Back', menahan diri dari menyatakan sesuatu. Aku mainkan lagu itu, alunan piano mula mengiringi bait-bait lirik,

If  I can sing of everything
That we have been through, I ran out of words
But if I could sing on just one thing
Baby you're melody

If I wanna write
A story about you and me
What it really means
I ran out pages

But if I could write
For just one moment
It will be forever

Maybe I felt it all alone
Maybe I was afraid
To find that you're where I belong
And say the words I later say

Now I try to deny this feeling
Who am I giving
Who are you giving

You're the song that won't stop playing
You're the part that keeps repeating
Singing it all over again

Like a refrain.. You're my refrain..

Aku bersiul-siul kecil mengikuti rentak lagu, dan kala itu aku masih lagi teringatkan gadis bermata coklat. Kisah antara aku dan dia. Tidak satu pun yang terlucut dari ingatan. Masih segar diminda, seperti baru semalam ia berlaku. Tutur kata dan gerak gerinya sering aku perhatikan dari jauh begitu juga dia. Apabila bertentang mata, kami hanya tersenyum atau tertawa kecil.

Jadual hariannya sudah hampir aku hafal. Pagi dia pergi kerja, waktu dia pulang sekitar jam 05.30 petang, selepas itu dia akan keluar bersama buah hatinya. Dan akan pulang kira-kira jam 10.30 malam. Dalam jarak masa itu, aku sentiasa menanti mesej darinya. Tidak berani aku menghubunginya ketika dia keluar bersama buah hatinya. Takut-takut kalau aku menganggu, jadi perkara yang aku hanya boleh lakukan hanyalah menunggu. Ya, menunggu dengan penuh kesabaran. Untuk apa aku menunggu khabar darinya? aku sendiri tidak mengerti. Kadang aku menunggu hingga hampir lewat malam, dan hanya sepatah perkataan yang aku kirimkan padanya,

"Goodnight"

Mungkin dia terlupa, mungkin dia sudah tidur kerana kepenatan, jadi aku biarkan. Jikalau dia belum tidur, dialah menjadi peneman hingga aku terlelap tapi selalunya dia yang terlelap lebih awal,

"Aku ngantuk dah ni, jom tidoq"
"Joooooommm!!!!"

Selang beberapa minit, si dia akan menghantarkan mesej kepada ku,

"Hoi! Kata tadi nak tidoq? Yang hang duk online lagi awat?"
"Aku tak ngantok lagi la. Ahahaha.."
"Cisssss!!!"
"Ahahahahha...."

Kadang berlanjutan perbualan antara aku dan dia, sedangkan sudah beberapa kali mengucapkan selamat malam. Itulah hiburan aku setiap hari, sebab aku dan dia sememangnya rapat. Pabila aku sakit, selalunya aku mengubati diriku sendiri, cuma kadang aku mengadu padanya.

"Aku rasa macam nak selesema dan batuk la, tekak perit je ni"
"Hang pi la makan ubat"
"Dah makan tadi"
"Ok, jangan minum ais"
"Tapi aku baru je order Milo Ais. Heeee..."
"Ha eloklah..Dah lepas ni sakit jangan ngada nak duk mengadu dengan aku!"
"Ehehehe..ter'order'. Bukan sengaja"
"Dah la! Menyampah aku dengan hang! Bye!"
"Sorry"

Aku tak pasti, adakah dia benar-benar marah atau tidak. Aku biarkan, hanya maaf yang mampu aku ungkapkan. Hubungan antara aku dan dia susah untuk aku tafsirkan. Secara kasarnya, aku dan dia adalah seperti teman rapat. Sebagai teman rapat, kami sentiasa bertukar pendapat, meluahkan masalah bersama dan itu adalah perkara normal yang dilakukan sebagai teman rapat. Sebagai seorang 'teman', aku terlalu mengambil berat akan dirinya. Aku mahu memastikan dia tidak sakit. Menjaga hatinya supaya dia tidak sedih. Walau aku tahu, dia sudah ada yang punya. Tidak terniat atau terlintas di hati ini untuk pisahkannya dari sesiapa. Bukan aku mahu mengganggu-gugat kebahagian yang dikecapinya.

Seiring perjalanan waktu, aku mulai merasakan sesuatu dalam diriku. Sesuatu yang aneh aku rasakan. Pernah juga aku bertanyakan kepada diriku,

"Kenapa perlu aku sakit hati bila dia tinggalkan aku dulu?"
"Kenapa perlu aku berasa sedih tatkala dia mengucapkan perkataan 'kahwin'?"

Bila dulu dia tinggalkan aku, bergetar seluruh raga, lemah segala anggota, terasa sesak nafasku,

"Kenapa??"

Benak hatiku bertanya. Aku masih cuba menafikan perasaan aku waktu itu. Masih cuba menipu diriku sendiri.

'Aku dan dia hanya seorang kawan. Tak lebih dari itu'

Tiap saat dan waktu cuba aku benamkan kata-kata itu di dalam otakku. Cuba aku buang perasaan itu jauh-jauh, cuba aku hindarkan. Tapi, terlalu payah aku rasakan. Cukup berat rasa hati tika itu. Tapi apakan daya, aku relakan jiwa. Aku tabahkan hati, dengan penuh kesabaran menempuhi hari-hari mendatang. Menahan jiwa yang meronta. Hingga kini, aku masih lagi menafikan perasaan itu. Sebab, aku tahu tempat yang selayaknya di mana, aku ini bukan sesiapa pada dirinya. Aku hanyalah orang 'asing'. Tiada tempat dan hanya menumpang sementara di sudut hatinya. 


BERSAMBUNG...

No comments:

Post a Comment